Zidane : ‘Saya bukan punca Gareth Bale keluar’

0 296

Pengurus Real Madrid Zinedine Zidane menafikan dia menjadi punca pemain sayap Gareth Bale meninggalkan kelab itu dan membuat keputusan menyertai kelab lamanya, Tottenham Hotspurs secara pinjaman selama semusim.

Menurut Zidane itu adalah tanggapan orang ramai berdasarkan apa yang dilaporkan media, dan tanggapan itu perlu diperbetulkan.

“Ia bukan seperti apa yang anda dengar. Ia sesuatu yang lebih rumit, ia adalah cerita sebelah pihak Bale tidak mendapat peluang, Bale disisihkan, Bale mempunyai hubungan dingin dengan saya.

“Tiada siapa pernah bertanya jika saya ada masalah dengan dia tetapi sejujurnya saya tidak pernah ada masalah dengan dia. Bagi saya, ia adalah sesuatu yang normal perkara seperti ini berlaku dalam bolasepak.

“Dia mencari angin baru, apa yang boleh kita buat adalah mengucapkannya selamat berjaya.

“Saya tahu dia seorang pemain yang cukup menakjubkan, dia telah menyumbang terlalu banyak, dia sentiasa membuktikan kualiti apabila diberi kepercayaan, tidak pernah mengecewakan.

Apa yang telah dia kecapi bersama pasukan ini adalah sesuatu yang tidak boleh siapapun persoalkan,” kata Zidane kepada Reuters.

Terdahulu pemain sayap kebangsaan Wales itu melengkapkan perpindahan secara pinjaman bernilai £20 juta ke Tottenham Hotspur secara pinjaman pada Jumaat.

Pada 2013 Gareth Bale meninggalkan Spurs untuk menyertai Real Madrid dengan nilai perpindahan termahal dunia ketika itu, £86 juta.

Bersama Real Madrid, Gareth Bale menjulang dua gelaran La Liga dan empat gelaran Liga Juara Eropah.

Dia turut menyumbang dua gol ketika aksi final Liga Juara Eropah 2018/2019 – salah satunya gol akrobatik cantik – yang membantu Real Madrid muncul juara dengan menewaskan Liverpool.

Begitupun Gareth Bale tidak mengharungi musim yang hebat di sebalik Real Madrid muncul juara La Liga 2019/2020, di mana dia sedikit bergelut untuk memulihkan prestasi selepas mengalami kecederaan dan gagal untuk memenangi semula kepercayaan Zidane.

Ia menyaksikannya disisihkan dalam sembilan perlawanan terakhir termasuklah aksi suku akhir Liga Juara Eropah menentang Manchester City.

Ramai membuat tanggapan bahawa ia disebabkan hubungan dinginnya dengan Zidane.

Foto : Zimbio

Leave A Reply

Your email address will not be published.