Keane : ‘Solskjaer akan dipecat kerana pemain-pemain yang tiada keghairahan ini’

0 381

Bekas kapten Manchester United Roy Keane berpendapat sukar untuk Ole Gunnar Solskjaer mempertahankan kedudukan sebagai pengurus di kelab itu selepas kekalahan terbaru kepada Arsenal pada lewat malam Ahad.

Jaringan tunggal Pierre Emerick Aubameyang bukan sahaja menoktahkan kemarau kemenangan 14 tahun Arsenal di Old Trafford, tetapi lebih buruk menyaksikan Manchester United belum menang di laman sendiri musim ini.

Ini juga permulaan musim terburuk Red Devils dalam tempoh tujuh tahun, menyaksikan mereka kini sudahpun mengalami tiga kekalahan dalam enam perlawanan pertama dan terperosok di tangga ke-15 dengan hanya tujuh mata.

Menurut Roy Keane, dia bersimpati dengan bekas rakan sepasukan itu yang sudah tentunya akan terpaksa membayar harga mahal kerana prestasi buruk ditunjukkan barisan pemainnya.

“Saya risau, sangat risau dengan nasib Manchester United sekarang, dari mana awak mahu saya bermula? Kurang tenaga, kurang keghairahan, kurang kualiti, ini membimbangkan saya. Tiada kualiti, tiada sedikitpun menghampiri Manchester United yang saya kenal.

“Prestasi sebilangan besar pemain sangatlah teruk, saya langsung tidak yakin dengan mereka. Saya tidak nampak seorangpun pemain yang boleh menjadi pemimpin di atas padang, betul-betul tiada kualiti, perjalanan yang nampaknya cukup jauh untuk kelab ini.

“Lihat apa yang dilakukan Marcus Rashford pada perlawanan ini, reaksi dia sangat mengejutkan, boleh pula dia sekadar menggeleng kepala apabila terlepas bola dan peluang? Bukan ini cara pemain Manchester United, anda kena tunjukkan keghairahan!

Baca : ‘Ole will lose his job with this players’

“Musim ini sepatutnya menjadi penentu untuk Ole, tapi nampak gaya sekerat musim pun susah dia nak bertahan jika bekerja dengan pemain yang tiada semangat seperti ini. Saya menggaru kepala melihat bagaimana pasukan ini boleh mempunyai pemain yang tiada keghairahan.

“Kadang-kadang kita mengatakan tiada sebab untuk panik, tetapi melihat keputusan dan prestasi pemain, menunjukkan sudah masanya untuk panik.

“Susah untuk mengharap sesuatu yang lebih dengan pemain seperti ini. Sebagai pemain, kita tidak boleh mengharapkan pengurus akan sentiasa memberikan motivasi apabila kita bermain buruk, ia datang dari dalam diri.

“Percayalah, Ole akan kehilangan jawatan lebih cepat daripada jangkaan kerana pemain-pemain ini, saya bersimpati dengannya,” kata Keane.

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.