PKP bukan alasan untuk pemain-pemain goyang kaki dan lupakan kecergasan

0 71

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dikuatkuasakan di tujuh buah negeri bukan alasan untuk pemain-pemain goyang kaki dan mengabaikan tahap kecergasan.

Memang pasukan-pasukan yang terbabit iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Sabah, Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Kelantan tiada pilihan untuk kembali bergantung kepada cara latihan yang pernah diamalkan sepanjang PKP pada tahun lalu iaitu berhubung secara dalam talian.

Namun, ada sedikit kelegaan dalam kalangan jurulatih kerana pemain boleh keluar berjoging dan itu penting buat pemain dalam mengekalkan tahap kecergasan sepanjang menanti tempoh PKP berakhir.

Bagaimanapun, beberapa ketua jurulatih pasukan akur, latihan di padang dengan sentuhan terhadap bola adalah paling utama bagi hadapi musim baharu tetapi mereka menyerahkan perkara itu kepada kerajaan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Malaysian Football League(MFL) dalam mencari solusi.

Bagi ketua jurulatih Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto, dia memahami keperluan terhadap pelaksanaan PKP ekoran kes jangkitan pandemik COVID-19 yang semakin tinggi kebelakangan ini.

“Buat masa ini, pemain-pemain kembali jalani latihan secara individu dan mereka akan beritahu kepada saya serta jurulatih yang lain tiap kali selesai sesi latihan, ini sahaja pilihan yang ada buat masa ini.

“Pemain-pemain ternyata dapat mengikuti segala arahan diberikan walaupun terpaksa menggunakan cara dalam talian dan pengalaman semasa PKP dahulu, memudahkan komunikasi saya dengan pemain.

“Cuma PKP kali ini, ada sedikit kelainan kerana pemain boleh keluar untuk sekurang-kurangnya berlari dan ini sekurang-kurangnya berikan mereka pilihan untuk mengekalkan daya kecergasan.

“Kita sememangnya akur dengan saranan kerajaan dan nampak keperluan kenapa banyak perkara diperketatkan, cuma harap mungkin sedikit kelonggaran boleh diberikan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat seperti pemain dikuarantinkan dan tidak boleh pergi mana-mana selepas latihan, asalkan kami boleh berlatih seperti biasa.

“Bagaimanapun, ini hanya cadangan dan segala keputusan yang ditetapkan kerajaan kami akan hormati dan buat masa ini, kami akan terus gunakan cara latihan yang ada bagi hadapi musim depan dan harapan saya agar PKP tidak lama serta Liga Malaysia dapat berlangsung seperti dirancang oleh MFL, ” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih PDRM, Mat Zan Mat Aris, mengakui pemain perlu bertanggungjawab dengan kecergasan masing-masing kerana staf kejurulatihan hanya boleh berikan program latihan yang ditetapkan.

Beliau yang baharu sahaja melengkapkan senarai pemilihan pemain bagi menghadapi musim 2021 mengakui tempoh PKP adalah amat mencabar buat jurulatih dan pemain.

“Kami sebenarnya baharu sahaja hendak memulakan latihan pada minggu ini sebelum PKP dilaksanakan dan situasi sebegini membuatkan kami terpaksa merangka program khusus buat pemain.

“Bagi fasa awal ini, cukup penting kepada pemain mendapatkan kembali kecergasan sebelum pelaksanaan tahap kedua diharapkan boleh dilakukan sebaik PKP tamat nanti.

“Pemain kena disiplin serta jujur dalam soal ini dan kena patuh terhadap program yang jurulatih telah rangka dan seperti semua pihak, saya juga mengharapkan PKP ini berakhir lebih awal agar Liga Malaysia mampu berjalan seperti dirancang, ” katanya.

Leave A Reply

Your email address will not be published.