Kedah pilihan tepat untuk bangkit dan pulihkan semula karier

0 166

Pemain pertahanan Kedah, Ariff Farhan Md Isa mahu kembali mengintai tempat dalam skuad kebangsaan sekiranya berjaya membina kembali nama dalam Liga Malaysia selepas bergelut dengan kecederaan lama sebelum ini.

Pemain berusia 25 tahun ini sering kali dibelenggu kecederaan lama di bahagian lutut sejak berhijrah ke PKNS FC pada musim 2019 selain misinya untuk cuba berada di prestasi sebenar bersama Felda United musim lalu juga tidak berjalan lancar disebabkan Liga Malaysia hanya berlangsung separuh musim sahaja.

Tetapi, Ariff Farhan nekad ingin bangkit semula pada tahun ini apabila kembali semula ke Kedah sepertimana dia pernah berjaya mencipta nama bersama pasukan itu sejak musim 2016 hingga 2018 dan sasaran utamanya kali ini adalah untuk merebut tempat dalam skuad Harimau Malaya.

Namun dia sedar perkara itu bukan mudah dan memerlukan kerja keras bagi memastikan prestasinya berada di tahap terbaik dalam saingan Liga Super musim ini selain enggan lagi dibelenggu dengan sebarang kecederaan yang memudaratkan.

“Apabila saya keluar daripada Kedah pada tahun 2019, memang saya sedar prestasi agak tidak menentu dan pada masa itu, saya tahu hati saya memang nak patah balik kembali ke Kedah.

“Saya cuba lagi dengan Felda United pada musim lepas, dan sedikit sebanyak saya dapat rasa saya di landasan betul, tetapi belum puas sebab liga hanya berlangsung separuh musim sahaja.

“Kali ini, saya tidak mahu toleh ke belakang lagi dan sekiranya saya mampu buktikan kembali prestasi terbaik saya, tidak mustahil hasrat saya untuk kembali mendapat tempat dalam skuad kebangsaan tercapai,” katanya.

Kali terakhir Ariff Farhan berada dalam kem latihan pusat skuad kebangsaan adalah pada pada tahun 2018 untuk menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa “A” bertemu Mongolia sebelum namanya digugurkan pada Jun 2018 ketika persediaan menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa “A” bertemu Fiji.

Leave A Reply

Your email address will not be published.