Kalau setakat sasar separuh akhir, baik tarik diri jer!

0 158

Malaysia berpeluang cerah untuk akhirnya menjulang Piala Thomas selepas 28 tahun seandainya dua pasukan pilihan China dan Jepun turut menarik diri daripada beraksi di pertandingan berprestij itu yang dijadual berlangsung Oktober depan.

Dua pasukan itu dikatakan sedang mempertimbang hasrat tersebut dan jika sah mereka berbuat demikian, laluan Malaysia mungkin menjadi lebih mudah memandangkan Indonesia, Taiwan dan Thailand juga telah menarik diri kerana kebimbangan terhadap penularan Covid-19.

Malaysia sebelum ini telah mensasarkan separuh akhir tetapi tanpa pencabar kuat tinggal India, Denmark dan Korea Selatan yang perlu diberikan perhatian.

Justeru bekas pemain perseorangan nombor satu dunia, Roslin Hashim, berpendapat jika Malaysia mahu merampas semula Piala Thomas inilah peluang terbaik melakukannya.

“Jika China dan Jepun menarik diri saya rasa kejohanan ini sudah tiada prestij dan tidak meriah, tetapi kalau betul-betul kita hendak ambil semula Piala Thomas, inilah masanya.

“Sasaran harus ditukar, sasaran kalau masih sama separuh akhir, baik tidak perlu pergi. Kalau Jepun dan China tarik diri takkanlah Malaysia masih tidak mampu ke akhir,” katanya kepada Harian Metro.

NYAWA LAGI PENTING

Bagaimanapun, dalam masa sama, Roslin Hashim turut menyuarakan kebimbangan mengenai situasi semasa berkaitan Covid-19 justeru dia tidak melihat menjulang Piala Thomas adalah sesuatu yang perlu diberi keutamaan jika dibandingkan dengan keselamatan pemain.

“Saya ada dengar ada pemain kalau boleh tak nak pergi ke Denmark kerana risau dengan Covid-19. Ia disebabkan mereka tidak ada jaminan bila ke sana, paling menjadi keutamaan adalah keselamatan pemain.

“Inilah sebab utama mengapa negara lain terutama Indonesia menarik diri, jangan sampai hendak kejar sangat Piala Thomas sampai abaikan kesihatan dan keselamatan pemain,” kata Roslin Hashim.

Sebagai rekod kali terakhir Malaysia menjulang Piala Thomas adalah pada 1992 dengan menewaskan Indonesia pada perlawanan akhir.

Pencapaian terbaik selepas itu adalah muncul naib juara sebanyak empat kali pada 1994, 1998, 2002 dan terakhir pada 2014.

Piala Thomas 2020 adalah edisi ke-31 pertandingan dan dijadual berlangsung dari 3-11 Oktober depan di Ceres Arena Aarhus, Denmark.

Leave A Reply

Your email address will not be published.