Jangan tangguh terlalu lama, berat kesannya kepada industri bolasepak

0 298

Sebarang penangguhan yang terlalu lama atau pembatalan Liga Malaysia dijangka boleh memberikan banyak impak negatif yang bukan sahaja membabitkan soal kebajikan pemain dan pegawai yang terbabit malah semua pihak yang terlibat dengan industri bola sepak negara.

Kebimbangan itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail dengan menekankan bahawa Liga Malaysia merupakan sektor profesional di mana semua pemegang taruh berkait antara satu sama lain.

Bukan sahaja pemain dan pasukan malah peminat juga turut terkesan dengan penangguhan atau pembatalan Liga Malaysia selain kesukaran pihak penaja untuk mendekati Liga Malaysia jika situasi ini berterusan.

“Para pemain bergantung kepada pasukan, pasukan bergantung kepada penajaan, penajaan bergantung kepada penyiaran, selain aspek sokongan penonton, pelabur dan lain-lain, inilah kitaran yang melengkapkan industri.

“Sekiranya saingan dibatal atau ditangguh, kitaran ini akan terganggu dan seterusnya memberi impak besar kepada industri bola sepak malah dalam masa sama mengganggu momentum persiapan pasukan kebangsaan menjelang kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia.

“Di peringkat komuniti pula terutamanya para penyokong, mereka turut mengalami kerugian kerana ada dalam kalangan mereka yang sudah pun membeli pas bermusim, membantu pasukan dengan pembelian ‘merchandise’ rasmi pasukan dan lain-lain.

“Inilah hakikatnya apabila Liga Induk (Liga Malaysia) ditangguh atau dibatal, kerana ia memberi manifestasi besar bahawa aktiviti sukan yang seumpamanya tidak boleh dijalankan sama sekali, ” katanya.

Justeru, beliau mengharapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat membenarkan saingan Liga Malaysia diteruskan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat selain menjadikan liga-liga Eropah sebagai contoh biarpun kes penularan pandemik COVID-19 di sana mencatatkan angka yang tinggi.

“PFAM merasakan tiada masalah untuk MKN membenarkan saingan Liga Malaysia berlangsung kerana jika diteliti, setiap pasukan sudah pun menyiapkan diri bagi menghadapi saingan ini dan sangat mengikuti SOP secara ketat setiap kali turun berlatih.

“Berlatih dan bermain dalam stadium lebih memudahkan untuk kawalan keselamatan dibuat dengan adanya perimeter kawalan yang jelas dan daripada aspek komersial, sekalipun saingan dilangsungkan dalam keadaan stadium kosong, tetapi penyiaran masih boleh dilakukan bagi membolehkan pasukan penaja tidak menarik diri atas faktor komersial.

“Perkara ini juga dilakukan di liga-liga Eropah, dan kami melihat tiada masalah jika kita melakukan perkara yang serupa dan sehubungan itu, adalah wajar untuk saingan Liga diteruskan, selagi mana ia mengikuti SOP yang ketat dan mampu dikawal,” katanya.

Pandangan sama turut diluahkan Presiden PFAM, Safee Sali, yang berkata, emosi dan mental pemain pasti terjejas jika Liga Malaysia tidak dapat diteruskan kerana bola sepak adalah sumber pendapatan tunggal kepada pemain profesional.

Tambahnya, beliau boleh menerima sebarang penangguhan tetapi bukan kepada pembatalan kerana situasi itu pasti memberikan kesan besar kepada kemampuan pasukan dalam membayar gaji pemain.

“Buat masa ini, saya mewakili pemain-pemain lain boleh menerima keputusan MFL untuk menangguhkan Liga Malaysia kepada 5 Mac berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Cuma saya harap tidaklah sampai dibatalkan, impaknya pasti sukar kepada pemain dan pegawai yang terlibat dengan Liga Malaysia, jadi saya mengharapkan MKN boleh memberi kelonggaran dalam soal ini.

“Inilah satu-satunya pendapatan kami dan saya harap MKN dapat melihat akan kepentingan daripada sudut ekonomi kerana industri bola sepak sebenarnya cukup besar di negara ini.

“Sebagai balasan, segala SOP yang akan dibentangkan nanti, kami sebagai pemain akan ikuti tanpa sebarang masalah biarpun mungkin lebih ketat berbanding sebelum ini, ” katanya.

Pada minggu lalu, Malaysian Football League (MFL) telah membuat keputusan untuk menunda tarikh sepak mula Liga Malaysia bagi musim 2021 pada 5 Mac 2021 susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di semua negeri kecuali Sarawak (PKP Bersyarat) sehingga awal bulan depan.

Mengikut perancangan awal, Liga Malaysia 2021 akan membuka tirai dengan perlawanan sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah yang menemukan juara dan naib juara Liga Super musim lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 26 Februari lalu.

Leave A Reply

Your email address will not be published.