Inilah 10 pemain pertama dibeli Arsene Wenger di Arsenal

0 762

Arsene Wenger merupakan pengurus kedua paling lama mengendalikan satu pasukan di Liga Perdana Inggeris selepas Sir Alex Ferguson.

Dia membimbing Arsenal selama 22 tahun dan dalam tempoh itu berjaya meletakkan dirinya sebagai salah seorang pengurus paling berjaya di England, dengan memenangi tiga gelaran EPL dan tujuh trofi Piala FA.

Sepanjang 22 tahun juga, Arsene Wenger telah membawa masuk lebih dari 100 pemain, dari pemain yang tiada nama kemudiannya menjadi bintang seperti Thierry Henry sehinggalah pemain berprofil tinggi seperti Mesut Ozil.

Di bawah ini adalah senarai 10 pemain pertama yang dibelinya selepas dilantik sebagai pengurus Arsenal pada Jun 1996 menggantikan Bruce Riochs, ada yang berjaya memahat nama dan menjadi kesayangan kelab, ada yang hilang begitu sahaja.

#1 Nicolas Anelka 

Ya, Anelka adalah pembelian pertama Wenger di Highbury dan satu-satunya pemain dibawa masuk olehnya pada musim itu (pemain lain seperti Patrick Vieira dan Remy Garde telah menyertai pasukan sebelum Wenger masuk).

Dia hanya berusia 17 tahun ketika dibeli dari PSG dengan harga £500,000. Penampilan terhad pada musim pertama tetapi pada musim kedua dia mengisi kekosongan Ian Wright dengan begitu baik dan menjadi tonggak penting dalam kejayaan Arsenal memenangi kejuaraan berganda EPL dan Piala FA 1997/1998.

Pada 1998/1999 dia adalah penjaring terbanyak Arsenal musim tersebut dengan 17 gol malah dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik Tahunan, sebelum dipancing Real Madrid.

Baca : Anelka akui meninggalkan Arsenal satu kesilapan besar dalam karier

#2 Marc Overmars

Overmars menyertai Arsenal dari Ajax dengan nilai perpindahan £7 juta. Pemain sayap ini membina nama bersama the gunners dengan membuat 143 penampilan dalam semua pertandingan sepanjang tiga musim bersama kelab itu, memenangi EPL dan Piala FA pada 1997/1998.

#3 Gilles Grimandi

Grimandi memulakan karier profesional di bawah kendalian Wenger di Monaco dan direkrut menyertai Arsenal pada musim 1997/1998. Grimandi bermain selama lima musim di Highbury, membuat lebih 100 penampilan dan memenangi kejuaraan berganda EPL dan Piala FA sebanyak dua kali.

#4 Emmanuel Petit

‘French Connection’ – pemain Perancis keenam menyertai Arsenal. Sepertimana Grimandi, Petit juga merupakan pemain diketengahkan Wenger di Monaco. Selepas menyertai Arsenal dengan nilai £2.5 juta, Wenger menukar posisi pemain ini dari central midfield kepada defensive midfield.

Dia membentuk gandingan sensasi bersama rakan senegara Patrick Vieira di tengah dan menjadi tonggak yang menghadiahkan gelaran berganda 1997/1998. Petit meninggalkan kelab untuk menyertai Barcelona bersama-sama Marc Overmars selepas membuat lebih 100 penampilan dalam tiga musim.

 #5 Matthew Upson

Masuk ke Arsenal pada usia 18 pada musim 1997/1998 dan dinilai sebagai mempunyai masa depan cerah, tetapi kecemerlangan gandingan Tony Adams dan Martin Keown di jantung pertahanan mengehadkan peluang untuk pemain muda ini, menyaksikannya sukar merebut tempat dan dijual pada 2003.

#6 Luis Boa Morte

Dibeli dengan harga £1.75 juta dari Sporting Lisbon pada musim 1997/1998, Boa Morte yang ketika itu berusia 20 tahun lebih banyak digunakan sebagai pemain gantian dan meninggalkan pasukan selepas hanya dua musim untuk menyertai Southampton.

#7 Alberto Mendez

Bolehlah dikatakan sebagai pembelian sia-sia yang pertama. Mendez dibeli dari kelab bukan liga di Jerman pada 1997/1998 tetapi hanya membuat 11 penampilan (kesemuanya) sebagai gantian pada musim pertama dan menghabiskan tiga musim berikutnya beraksi secara pinjaman dengan beberapa kelab.

#8 Alex Manninger

Tidak membuat penampilan yang banyak tetapi Manninger ada sebab tersendiri untuk berbangga malah dia juga memainkan peranan penting dalam musim pertamanya bersama kelab.

Dia dibawa masuk sebagai ‘back-up’ kepada David Seaman, tetapi mendapat peluang beraksi selepas penjaga gol berpengalaman itu mengalami kecederaan pada pertengahan musim.

Manninger tidak mengecewakan apabila bermain tujuh perlawanan dan tidak bolos (clean sheet) dalam enam perlawanan berturut-turut.

Arsenal memenangi EPL dan kalau diikutkan Manninger tidak layak diberi medal kerana tidak cukup syarat (mana-mana pemain kena beraksi sekurang-kurangnya 10 perlawanan untuk diberi medal kejuaraan) tetapi penjaga gol ini mendapat pengecualian khas kerana posisi penjaga gol jarang digilirkan dan peranannya dianggap sangat penting dalam membantu Arsenal memenangi kejuaraan.

#9 Nelson Vivas

Dibeli dari Boca Juniors sebagai ‘back-up’ kepada duo berpengalaman Lee Dixon dan Nigel Winterburn di bek kanan. Membuat 69 penampilan dalam semua pertandingan sepanjang tiga musim di kelab sebelum berpindah secara percuma ke Inter Milan.

#10 Freddie Ljungberg

Dibawa masuk pada musim 1998/1999 selepas Arsene Wenger menyaksikannya di kaca televisyen pada perlawanan antara Sweden dan England. Dia mencipta impak segera apabila menjaringkan gol pada penampilan sulung di EPL ketika Arsenal menewaskan Manchester United 3-0.

Dia kekal di Arsenal selama 9 musim, membuat lebih 200 penampilan, memenangi dua kejuaraan berganda termasuk merupakan tonggak musim ‘invincibles’ 2003/2004 selain menjulang tiga Piala FA.

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.