Dua minggu yang cukup kritikal untuk semua pasukan Liga Malaysia

0 191

Ketua jurulatih Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto, gembira dengan kebenaran diberikan kerajaan untuk semua pasukan kembali menjalani latihan bermula 15 Februari ini sambil melihat perkara itu penting agar perancangan Liga Malaysia dapat berjalan seperti dirancang pada musim ini.

Kerajaan pada Selasa membenarkan program latihan berpusat dijalankan bagi pasukan-pasukan dalam Liga Malaysia, Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) selepas membuat penilaian risiko.

Jsuteru Kurniawan berkata setiap pasukan sudah tentu mempunyai perancangan masing-masing sejak bermula awal tahun ini dan pengumuman Majlis Keselamatan Negara itu diharap akan memberikan keselesaan kepada jurulatih dalam merangka sistem latihan yang bersesuaian.

“Saya rasa bukan sahaja Sabah tetapi semua pasukan Liga Malaysia gembira apabila mendapat perkhabaran ini kerana memberikan satu permulaan positif kepada Liga Malaysia.

“Apa jua SOP yang digariskan oleh MKN, kami sedia ikutinya kerana tidak mahu sebarang masalah membabitkan kesihatan pemain akan terjadi nanti demi memastikan liga kita mampu berjalan dengan lancar.

“Selain itu, kami betul mahukan Liga Malaysia dapat bermula seperti biasa musim ini dengan semua perlawanan dapat dijalankan tanpa sebarang penangguhan,“ katanya.

Manakala ketua jurulatih PJ City, P Maniam menegaskan pemain serta barisan jurulatih sudah bersedia daripada segi mental untuk mengikuti latihan secara ‘Camp Quarantine’ dan ‘Home Quarantine’.

“Buat masa ini, kami akan menunggu arahan daripada pihak pengurusan berhubung perkara ini namun secara kasarnya, semua pemain serta jurulatih boleh memahami cara latihan yang diarahkan.

“Sememangnya SOP ini antara kaedah yang baharu digunakan namun apa jua langkah yang ditetapkan, demi memastikan Liga Malaysia kembali bersambung, kami sedia ikuti SOP seperti mana diarahkan kerajaan,” katanya.

Ketua jurulatih UiTM FC, Frank Bernhardt pula mengakui lega kerana mereka tidak perlu menunggu terlalu lama untuk memulakan latihan semula selepas sebulan mereka tidak dapat jalani latihan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 13 Januari lalu.

Beliau optimis pemainnya masih berada di tahap terbaik bagi memulakan latihan kerana sepanjang tempoh PKP, pemain-pemainnya telah menjalani latihan yang ditetapkan secara dalam talian dan bersedia kembali jalani latihan seperti biasa.

“Sememangnya saya dan pasukan teruja dengan pengumuman semalam kerana akhirnya kami dapat turun ke padang, seterusnya diharapkan Liga Malaysia dapat bermula pada musim ini.

“Kami tidak ada masalah untuk mengikut SOP yang ditetapkan iaitu program latihan berpusat mengikut model gelembung sukan kerana kami mempunyai kemudahan yang mencukupi tempatkan semua pemain.

“ Apa-apapun kami akan menilai terlebih dahulu SOP yang akan dikeluarkan oleh MFL dan melihat daripada situ bagaimana cara pelaksanaannya, ” katanya.

Leave A Reply

Your email address will not be published.