Danish Haziq : ‘Kalau kekal di Negri Sembilan, mungkin saya belum capai tahap ini’

0 577

Bekas kapten skuad B-19 kebangsaan, Danish Haziq Saipul Hisham berharap perpindahannya ke Perak pada musim ini adalah satu keputusan tepat dalam masa sama berharap dapat memenangi kepercayaan Mehmet Durakovic untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.

Pemain bek kanan berusia 24 tahun itu pada musim lalu beraksi dengan Uitm FC dan sebelum itu bersama Negeri Sembilan selama empat musim.

“Terus terang, saya tidak pernah berasa putus asa sepanjang bermain walaupun ada masanya pernah cedera begitu lama dan tidak mendapat peluang bermain sebelum ini kerana saya sentiasa bersemangat serta jadikan rakan-rakan yang berjaya di peringkat tertinggi sebagai inspirasi.

“Di Perak, harap jurulatih (Mehmet) tahu apa kelebihan saya dan seterusnya diberi kepercayaan tetapi perkara ini tidak boleh sekadar cakap sahaja, saya kena buktikan serta tunjukkan apa yang saya ada.

“Apa yang pasti, saya kena bersaing hebat dengan Amirul Azhan bagi merebut tempat di bahagian pertahanan kanan.

“Laluan sudah ada depan di mata saya, jadi sekarang saya kena ambil peluang ini sebaik mungkin,” kata Danish Haziq yang turut merakamkan penghargaan kepada ketua jurulatih UiTM FC, Frank Bernhardt sebagai individu penting buat dirinya untuk mengembangkan karier di peringkat lebih baik.

Menurut Danish Haziq, Bernhardt memberikan peluang dan ruang bagi dirinya untuk kembali mendapatkan lebih minit permainan selepas melalui tempoh yang tidak menentu di Negeri Sembilan.

Dia mengakui keputusan untuk berhijrah ke UiTM FC pada musim lalu di Liga Super telah membuka lembaran baharu dalam karier sehingga Perak berminat mendapatkan khidmatnya pada musim ini.

“Penghijrahan ke UiTM FC menjadi titik tolak perubahan kepada karier saya, kalau masih di Negeri Sembilan mungkin saya belum capai tahap ini dan ini mungkin rezeki pada musim lalu apabila aksi saya dapat memikat pasukan lain.

“Saya mahu ucapkan terima kasih kerana Bernhardt kerana sudi beri peluang untuk bersama pasukan kerana pada awalnya pengurusan UiTM mahukan pelajar sahaja di dalam pasukan.

“Namun, Bernhardt mahukan saya dan apabila masuk, saya diberi peluang untuk sambung belajar oleh pengurusan dan dia bagi peluang untuk saya bermain, daripada situ saya telah buktikan apa kebolehan saya.

“Walaupun bersaing secara sihat dengan ketua pasukan, Faizal (Arif) pada waktu itu, Bernhardt mampu berikan peluang yang sama rata antara kami berdua untuk bermain malah dia cukup faham antara saya dan Faizal, ” katanya.

Leave A Reply

Your email address will not be published.