‘Black’ akui bukan mudah untuk bangkit dari kecederaan ACL

0 1,026

Bekas kapten skuad B-22 kebangsaan, Faris Shah Rosli mengakui masih belum puas menimba pengalaman bersama Melaka United meskipun sudah hampir empat musim beraksi untuk pasukan itu.

Pemain berusia 26 tahun itu yang dikenali sebagai ‘Black’ meninggalkan pasukan Kelantan pada pertengahan musim 2018 untuk menyertai skuad kendalian Zainal Abidin Hassan dan dia bersyukur apabila masih diberi peluang dan kepercayaan untuk terus menabur bakti di bumi Hang Tuah.

Jelasnya, walaupun agak bergelut untuk kembali mencipta nama selepas menempuh fasa kecederaan ACL sebelum ini pada tahun 2017, dia tidak ingin berputus asa dan mahu berusaha keras bagi mencapai prestasi yang lebih memuaskan untuk musim ini.

“Ini tahun keempat saya bersama Melaka dan saya sememangnya cukup selesa beraksi dengan pasukan ini selepas berbakti dengan Kelantan selama dua musim sebelum ini.

“Rakan-rakan sepasukan juga cukup membantu saya sehinggalah sekarang dan itu yang membuatkan saya rasa sayang nak tinggalkan pasukan ini dan pastinya masih belum rasa puas.

“Kalau nak ikutkan, sebagai pemain yang pernah berdepan kecederaan ACL, memang bukan mudah untuk saya beraksi sepertimana saya lakukan sebelum saya cedera.

“Jadi, saya sendiri yang kena paksa diri untuk berusaha lebih keras capai prestasi yang diinginkan selagi masih ada pasukan yang percayakan kemampuan saya,” jelas Faris Shah yang mengakui persaingan sengit untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama datangnya dari Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman dan Khairul Anwar Shahrudin.

Bagaimanapun, Faris menganggap perebutan tempat dalam skuad utama itu tidak pernah melemahkan semangatnya sebaliknya membuatkan dia lebih rasa tercabar untuk sentiasa melakukan yang terbaik dalam setiap perlawanan.

“Jujur saya cakap memang mencabar untuk rebut tempat sebagai pemain utama sebelum ini apabila bersaing dengan kedua-dua pemain itu.

“Tetapi, walaupun tidak semua perlawanan saya diletakkan dalam kesebelasan utama, jurulatih (Zainal Abidin Hassan) masih memberi peluang kepada saya untuk pertaruhkan aksi di atas padang walaupun sebagai pemain simpanan.

“Yang penting, setiap peluang yang diberi, saya akan pastikan ia tidak akan sia-sia dan mahu sentiasa memberikan yang terbaik untuk pasukan ini,” katanya.

Leave A Reply

Your email address will not be published.