Bale bawa bala, Mourinho percaya tidak turunkan pemain itu satu keputusan tepat

0 552

Hujung minggu yang baru sahaja berlalu menyaksikan Tottenham Hotspurs mendahului West Ham 3-0 sehingga minit ke-81 tetapi akhirnya sekadar berpuas hati dengan keputusan 3-3.

Lebih malang, tiga gol yang dilepaskan Spurs itu adalah selepas kemasukan bintang sensasi Gareth Bale, yang membuat penampilan sulung selepas menyertai kelab London itu secara pinjaman dari Real Madrid pada bulan lalu.

Gareth Bale, masuk menggantikan Steven Bergwijn pada minit ke-72 dan kira-kira 10 minit selepas itu bermulalah kebangkitan menakjubkan West Ham.

Tandukan Fabian Balbuena pada minit ke-82 disusuli gol sendiri Davinson Sanchez dan jaringan jarak jauh cantik Manuel Lanzini pada masa kecederaan memastikan kedua pasukan berkongsi satu mata.

Spurs sebelum itu hanya memerlukan 15 minit di awal separuh masa pertama untuk selesa 3-0 di depan menerusi jaringan Son Min Heung dan dua gol Harry Kane.

Kemasukan Gareth Bale membawa bala kepada Spurs, itu antara topik perbualan hangat dalam kalangan penyokong, pengulas mahupun pemerhati.

Malah ada penyokong menyifatkan ‘sumpahan Bale sudah kembali’ tetapi ini reaksi pengurus pasukan Jose Mourinho.

“Memang dia berpeluang melebarkan kelebihan dengan menjaringkan gol keempat dan membunuh kebangkitan West Ham dengan satu peluang terbaik yang dia dapat tetapi ia tidak berlaku, sebaliknya lawan pula yang mendapat semangat luar biasa selepas itu.

“Dia masih perlukan masa dan saya rasa ia keputusan tepat untuk tidak menurunkannya dalam kesebelasan utama, tetapi untuk mengatakan kemasukan Gareth Bale membawa impak negatif adalah tidak betul, kerana inilah bolasepak.

“Dalam masa sama keputusan saya (tidak turunkan Bale) menunjukkan dia tidak ada tempat istimewa di dalam pasukan ini. Ini adalah mesej yang penting kepada semua pemain bahawa, semua orang perlu berusaha untuk merebut tempat di dalam pasukan.

“Saya percaya dia telah jumpa semula tahap keyakinannya di sini. Jadi segalanya adalah positif, tetapi fokus utama tidak sepatutnya tertumpu pada dia.”

Kegagalan mengutip mata penuh menyaksikan Spurs terlepas peluang terbaik untuk melonjak ke kedudukan tiga teratas.

Leave A Reply

Your email address will not be published.