Annuar Musa anggap lebih baik Piala Malaysia dibatalkan

0 479

Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa berpendapat lebih baik saingan Piala Malaysia 2020 dibatalkan sahaja berikutan penularan wabak Covid-19 yang semakin kritikal dalam negara.

Malaysian Football League (MFL) sebelum ini memberitahu pertandingan berprestij itu akan tetap diteruskan bermula 6 November depan setelah dua kali menangguhkan tarikh sepak mula.

Ia akan dilangsungkan tanpa kehadiran penonton, dan dengan format berbeza iaitu tiada aksi peringkat kumpulan sepertimana lazim sebaliknya perlawanan kalah mati bermula dengan pusingan 16 terbaik.

Malah, pertandingan kali ini juga akan berlangsung dengan hanya membabitkan 15 pasukan sahaja, setelah pasukan Sabah membuat keputusan menarik diri selepas permohonan mereka untuk penerbangan khas ke semenanjung daripada Majlis Keselamatan Negara tidak mendapat lampu hijau.

“Memang tidak rugi apa-apa pun jika diteruskan tetapi ia melibatkan kos tinggi dan semua pasukan bertanding akan menanggung kerugian kerana tiada sumber pendapatan akibat tiada tiket dijual.

“Jadi elok ditiadakan terus sebab di benua Eropah ramai pemain dan jurulatih sudah dijangkiti Covid-19 walaupun perlawanan berlangsung dalam stadium yang tiada penonton,” kata Annuar Musa.

Beliau yang merupakan Menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian selepas merasmikan majlis penyerahan sumbangan untuk pemimpin komuniti Putrajaya di bawah Program Wilayah Cakna 3.0.

Mengulas mengenai pasukan Rakyat United yang dikatakan akan menjadi pasukan bolasepak yang mewakili Putrajaya dan bertanding di Liga Malaysia menggantikan Felda United, Annuar Musa berkata belum ada sebarang keputusan dicapai dan beliau juga tidak mahu terburu-buru kerana ia melibatkan kos besar.

Namun beliau mengakui idea mewujudkan sebuah pasukan bolasepak untuk mewakili Putrajaya adalah sejajar dengan hasrat kerajaan menjadikan Wilayah Persekutuan itu sebagai Bandar Raya Bolasepak Sultan Haji Ahmad Shah bernilai RM500 juta.

Sebagai rekod, Putrajaya selepas ini akan menjadi pusat pentadbiran Konfederasi Bolasepak Asia dan Persekutuan Bolasepak ASEAN, selain pusat latihan utama skuad Harimau Malaya.

Leave A Reply

Your email address will not be published.