ABK 20 : Shahrel Fikri idam dinobatkan Penyerang Terbaik Liga Malaysia buat kali kedua

0 146

Shahrel Fikri Mohd Fauzi tidak menafikan hasratnya untuk merangkul gelaran Penyerang Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 20 Virtual meskipun mengakui dia berdepan laluan sukar.

Sebagai rekod, Shahrel Fikri yang beraksi dengan Perak musim ini pernah memenangi kategori tersebut pada 2017 ketika dia mewakili PKNP FC dalam saingan Liga Premier dan menjadi pilihan untuk mengulangi pencapaian itu selepas muncul penjaring terbanyak tempatan dengan 10 gol dalam CIMB Liga Super 2020.

Begitupun penyerang berusia 26 tahun itu menyifatkan ada tiga calon yang turut berpotensi cerah untuk meraih trofi tersebut iaitu Ifedayo Omosuyi Olusegun (Selangor), Ramadhan Saifullah Usman (JDT) dan Diogo Luis Santo (JDT).

“Kali terakhir saya menang pada tahun 2017 dan ketika itu saya berjaya meledak 20 gol bersama PKNP FC, jadi tahun ini perasaan itu agak berbeza kerana saya tercalon pada waktu saya bersaing dalam CIMB Liga Super dan semestinya ia akan menjadi persaingan cukup sengit.

“Masing-masing ada kelebihan tersendiri untuk meletakkan mereka sebagai pemenang, tetapi bagi saya, Diogo, Ramadhan atau Omosuyi mungkin akan cipta kejutan.

“Semestinya saya mengimpikan trofi itu kerana tahun lepas saya tidak tercalon, dan kali terakhir menang pun pada 2017, jadi sekarang apabila dah tercalon, saya sangat gembira dan berharap yang betul-betul layak akan menang”, katanya.

Calon-calon lain yang turut berada dalam kategori Penyerang Terbaik adalah Casagrande (Pulau Pinang), Dominique Da Sylva (Terengganu FC), Engku Nur Shahir Engku Yacob (Terengganu FC II), Fernando Rodriguez (JDT II), Francis Kone (Kuala Lumpur) dan Tchetche Kipree (Kedah).

ABK20 Virtual buat kali pertama membuka undian kepada penyokong dalam pemilihan pemenang bersama dengan pengundian juri professional yang terdiri daripada pemain, jurulatih dan media.

Undian sudah dibuka kepada semua penyokong bermula Isnin (21 Disember 2020) jam 10 pagi dan akan berakhir pada Jumaat (25 Disember 2020) 11.59 malam.

Penyokong boleh membuat undian dengan melayari bit.ly/ABK20Fans.

Leave A Reply

Your email address will not be published.